Malam tadi saya ambil keputusan untuk tidur awal. Menghilangkan penat dan lelah yang berbaki. Dan di awal pagi hari ini saya terjaga dan tak mampu untuk meneruskan lelap. Alang-alang dah bangun dan segar ni, saya cuba untuk berkongsi apa yang bermain di fikiran sementara menunggu sepertiga akhir malam dan subuh hari. Lagipun dah lama juga tak menulis sesuatu di sini. Ambil masa sebentar untuk menulis kemudian boleh teruskan dengan aktiviti lain insya Allah.
Ok bismillah, mungkin panjang sikit ...
Rasa - saya definisikan sebagai apa yang kita rasa dan lintasan positif dalam hati apabila sesuatu perkara berlaku dalam hidup kita atau kita alami sehari-hari.
Usaha - yang saya maksudkan adalah suatu inisiatif, gerak kerja dan tingkah laku yang kita lakukan sebagai terjemahan kepada apa yang kita rasakan.
Mengapa rasa, megapa usaha?
Sebenarnya saya terfikir, banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita akan menafsirkan siapa kita di masa hadapan. Jangan pandang masa hadapan itu terlalu jauh. Esok juga dikira masa hadapan hatta detik, saat, minit dan jam yang mendatang juga begitu sifatnya. Bagi seorang muslim, di setiap hela nafas dan ketika hidup kita akan sentiasa berlaku pertembungan antara baik dan buruk. Iman dan hawa nafsu. Kanan dan kiri. Abu 'Ammar ada menyentuh tentang 2 tarikan ini secara panjang lebar dalam mukaddimah buku Al-Muntalaq.
Sesuatu rasa akan muncul dan terlintas dalam benak hati kita setiap masa. Pandang pada pengemis di tepi jalan rasa kasihan timbul. Dengar ceramah tentang sifat Nabi s.a.w. rasa kagum dan ingin mencontohi muncul. Menonton video di youtube atau movie tentang Palestin rasa semangat dan berani untuk melawan musuh hadir. Dan pelbagai lagi rasa yang boleh kunjung tiba dari pelbagai sumber. Cantik sungguh aturan Ilahi kerana rasa ini boleh datang dalam diri setiap manusia. Kalau tidak, takkanlah ada orang yang boleh te'rasa' untuk mengambil pengajaran dari permainan 'angry bird', DOTA dll. K-pop, cerita korea pun boleh (sarcasm).
Mungkin contoh yang saya berikan di atas nampak Islamik sikit sebab ia lebih hampir kepada realiti. Apa yang saya nak sampaikan adalah pe'rasa'an ini ada pada semua orang tidak kira bagaimana tanggapan orang pada dirinya ataupun tanggapannya pada dirinya sendiri.
Dari rasa ini maka akan menyusul suatu usaha yang kita cuba lakukan sebagai terjemahannya. Yang ini tak ramai atau tak semua orang berjaya. Mu'min pada istilahnya adalah terangkum dari 3 komponen iaitu mereka yang berikrar dengan lisan, percaya dengan hati dan beramal dengan perbuatan. Bukti keimanan kita pada 'rasa' yang kita alami adalah dengan adanya suatu usaha dan gerak laku yang menafsirkan pe'rasa'an tersebut. Tanpanya, rasa hanya akan tinggal rasa. Lintasan hanya tinggal lintasan. Berlalu bersama tiupan angin yang lalu.
Inilah apa yang boleh kita sebutkan sebagai amal. Ramai orang boleh mengungkapkan apa yang dirasa namun tak ramai yang boleh menterjemahkannya kepada amal usaha.
Apa yang saya nak sampaikan adalah hidup ini tidak cukup hanya sekadar rasa sahaja. Tengok movie 'perjuangan' 300 orang Sparta, rasa berani dan nak bina otot kental dan sasa, tapi akhirnya tak mampu juga menyelak selimut di waktu Subuh. Tidak cukup hanya dengan ilmu sahaja. Dengar ceramah tentang akhlak Rasul kemudian kita rasa kagum tetapi balik ke rumah masih dengan akhlak jahiliyyah meyindir, mengata dan menyakitkan hati orang lain.
Sebab tu Allah sebut dalam surah Asy-Syams, beruntunglah orang yang memilih ilham taqwa dengan menyucikannya atau melaksanakannya dalam bentuk usaha dan gerak kerja.
Titik.
Menterjemah rasa kepada usaha
Memang benar, hamba Allah yang diberi kekuatan dan inayah-Nya akan mampu. Saya cuba kongsikan beberapa perkara yang boleh membantu :
1/ Kefahaman yang benar
Kefahaman yang kita nak bina di sini adalah kefahaman bahawa setiap ilmu yang kita perolehi dan rasa yang kita hayati perlu diterjemah kepada amal tindakan. Bukan 'mujarrad' atau semata kalam dan lintasan. Juga kefahaman akan kepentingan sesuatu rasa yang kita alami. Kepentingan bangun subuh, kepentingan berakhlak dengan akhlak Rasul, kepentingan menginfaqkan sebahagian harta dan sebagainya. Kefahaman yang benar akan menolak kita untuk terus beramal.
2/ Niat yang suci
Semestinya hanya untuk mencapai redha Ilahi. Benarlah suatu kata-kata bahawa setiap yang dilakukan kerana Allah akan sentiasa kekal dan berterusan. Begitu juga sebaliknya. Niat yang bersih tanpa sebarang unsur sandaran pada makhluk akan menjamin kelangsungan rasa kita kepada usaha.
3/ Persekitaran yang membina
Keluarga, rakan, masyarakat yang soleh mampu membantu kita dalam menterjemahkan rasa ini. Suasana yang hangat mengingatkan antara satu sama lain, basah menegur dalam kelembutan dan kasih sayang serta memberi semangat dan sokongan yang berterusan. Berpesan-pesan ini adalah ciri orang yang terlepas dari kerugian. Menjadi tanggungjawab kita juga untuk membina dan mencipta persekitaran yang baik ini.
Inilah beza tarbiyyah dan didikan yang mendalam dari suapan suam-suam kuku. Usrah yang mempunyai ruh mencipta dan melahirkan produk dari bulatan rutin yang ikut-ikutan dan tanpa rentak. Lontaran pemikiran dan perasaan yang membina dari ceramah mingguan yang hanya bergelak dan mengata.
Saya akhiri dengan satu firman Allah dari surah Al-Hadiid. Takut-takut kalau kita mengabaikan sudut 'penterjemahan' rasa ini kelak suatu hari nanti tidak akan terlintas lagi dalam hati kita rasa itu. Di kala itu, usah bermimpi untuk berbicara tentang amal.
" Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang
beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran
Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada
mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang
telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui
masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya
orang-orang yang fasik. " (Surah Al-Hadiid : 16)
Apa yang kita rasa? Apa usaha kita?





0 comments:
Post a Comment