Pandangan umum masyarakat akan melihat usia-usia dalam lingkungan sebaya saya adalah satu tempoh yang sudah matang. Sudah sampai tempoh, sudah masak atau 'ripe' dalam bahasa Inggerisnya. Menunggu masa untuk dimanfaatkan dan memikul tanggungjawab yang seterusnya. Straight to the point - mula berfikir untuk ada pasangan sehidup semati. Berkahwin. Getaran ini dapat saya rasakan dari mereka yang berada di sekeliling saya. Mula berfikir dan merancang untuk masa depan keluarga yang akan dibina. Kadang-kadang ia menjadi satu topik yang hangat dan serius dibincangkan melebihi perbincangan ilmiah akademik di kuliah.
Semua orang ada pandangan tersendiri dalam bab memilih jodoh. Kalau ada yang bertanya pada saya, maka jawapan saya mudah. Rujuk saja pada panduan yang diberikan oleh Ar-Rasul s.a.w. dalam sabdanya yang popular dalam kalangan pemuda :
تنكح المرأة لأربع : لمالها ولحسبها
وجمالها ولدينها ، فاظفر بذات الدين تربت يداك
"Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara -
kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya
dan kerana agamanya ... maka pilihlah kerana agamanya
nescaya akan beruntunglah kedua-dua tanganmu."
kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya
dan kerana agamanya ... maka pilihlah kerana agamanya
nescaya akan beruntunglah kedua-dua tanganmu."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Benar, saya bukanlah orang yang selayaknya untuk membicarakan tentang hal ini dek kerana belum ada pengalaman yang berpijak pada realiti. Mungkin ia adalah sesuatu yang ideal. Namun, izinkan saya untuk berkongsi sudut pandang yang saya lihat dalam isu ini. Kebanyakan orang akan berada di persimpangan antara 2 pilihan yang tidak mudah - agama dan kecantikan.
Mengapa Agama Didahulukan?
1/ Ia adalah jaminan bagi perkara-perkara yang akan datang seterusnya. Seorang muslim dan muslimah yang berpegang teguh dengan agamanya, memiliki akhlak yang mulia, menzahirkan perawakan muslim yang sopan akan menjadi jaminan kepada pembentukan sebuah pasangan rumahtangga Muslim yang bahagia. Mereka akan berusaha menjadi seorang yang menyejukkan pandangan bila dipandang pasangannya, mereka akan menjadi seorang yang bertanggungjawab dan melayan ahli keluarganya dengan penuh penghormatan. Kerana mereka beriman dengan sabda Nabi s.a.w. :
أكمل المؤمنين
إيمانا أحسنهم خلقا وخياركم خياركم لنسائهم
"ٍMu'min yang sempurna imannya adalah
mereka yang terbaik akhlaqnya, dan sebaik-baik kamu adalah
mereka yang berbuat baik kepada isteri-isteri mereka."
(Riwayat Tarmizi, Hadith No. 1162)
(Riwayat Tarmizi, Hadith No. 1162)
ألا أخبركم بخير ما يكنز
المرء؟ : المرأة الصالحة إذا نظر إليها سرته ، وإذا أمرها
أطاعته ،
وإذا غاب عنها حفظته في نفسها وماله
"Mahukah kamu aku khabarkan sesuatu yang berharga? Isteri yang solehah : Apabila kamu memandangnya kamu merasa gembira (senang), Apabila disuruh dia taat, Apabila kamu tiada dia menjaga dirinya dan menjaga harta kamu."
(Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie)
Oleh yang demikian, mereka akan sentiasa berusaha menjadi pasangan yang terbaik sumbangannya. Baik pada layanan mesra, kejernihan wajah, rasa tanggungjawab dan sebagainya. Akhirnya dua-dua dapat. Agama dan kecantikan. Barulah matlamat menyempurnakan separuh agama itu akan tercapai.
2/ Songsangnya fahaman kita akan kecantikan dan rupa fizik seseorang. Kecantikan yang digambarkan oleh manusia zaman sekarang adalah sesuatu yang bersandarkan kepada apa yang selalu ditonjolkan dan disensasikan di dalam media massa. Media yang juaranya buat masa ini diterajui oleh media jahiliyyah. Menayang dan mengeksploitasi tubuh serta mempromosi nafsu yang meliar. Hingga akhirnya apa yang kita gambarkan adalah sesuatu yang bercerminkan dari kacamata dan pandangan jahiliyyah. Sedangkan kecantikan itu terletak pada kesopanan dan sifat malu seseorang, maruah diri yang terpelihara serta akhlaq mulia yang menghiasi diri.
Oleh itu, nasihat saya buat semua yang membaca - betulkan semula orientasi niat kita dalam memulakan langkah. Kalau boleh kita nak dapat keempat-empat ciri yang Rasulullah sebutkan. Kalau ada (dan ia bukan mustahil) itulah yang terbaik. Akan tetapi Rasulullah mengajar kita untuk menyusun dan meletakkan prioriti pandangan pada neraca Allah dan Rasul-Nya. Sehingga bila mana berlakunya pertembungan antara 2 pilihan, kita tahu mana yang ahsan.





1 comments:
syeikh kita dah berbicara :D
nak pendapat mai la jumpa ana..haha
Post a Comment